Ujian Tuhan di Kota Bercahaya
Al-Kisah Madinah
Kerana ujian itulah, kehidupan sering berubah arah.
Hampir sehari penuh saya bersama seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Jubail, Arab Saudi. Beliau datang menunaikan umrah dan singgah selama tiga hari di Madinah. Hari ini sepatutnya hari terakhir beliau di kota suci itu. Namun takdir Allah mendahului segalanya — satu musibah menimpa.
Dompet beliau hilang selepas menziarahi Maqam Rasulullah ﷺ seusai solat Subuh.
Saya dihubungi oleh seorang sahabat, anak angkat kepada beliau, untuk membantu menyelesaikan keadaan. Tanpa berlengah, kami terus ke Masjid Nabawi bagi bertemu beliau dan membuat laporan polis. Di dalam dompet itu tersimpan pelbagai dokumen penting — iqamah, lesen memandu, istimarah kenderaan, kad bank, kad kredit, wang tunai dan lain-lain.
Beliau sekeluarga sepatutnya bertolak pulang ke Jubail hari ini, perjalanan hampir 12 jam dengan menaiki kereta. Namun kehilangan lesen memandu dan dokumen penting menyebabkan perjalanan itu hampir mustahil untuk diteruskan. Wajahnya jelas mempamerkan beban dan kesukaran, walaupun saya tahu beliau seorang yang tabah dan sabar.
"Haji, sabar ya… insya-Allah jumpa tu,"
kata saya perlahan, sambil mengurut bahunya dan menghadiahkan senyuman kecil — sekadar menguatkan hati yang sedang diuji.
Saya tahu, musibah ini bukan kecil. Bukan mudah menerima kesusahan, dan bukan senang mencari ketenangan. Saat itu, ingatan saya kembali kepada ujian yang pernah saya lalui setahun lalu.
Seluruh beg dan dompet saya hilang di Masjid Nabawi — tepat ketika peperiksaan akhir bermula. Ketika itu saya sedang mengulang kaji di maktabah masjid, dan hanya menyedari kehilangan tersebut apabila mahu menunaikan solat Isyak. Hati menjadi sangat gelisah. Esok saya ada peperiksaan. Segala dokumen penting hilang, termasuk kad pelajar yang wajib digunakan untuk memasuki dewan peperiksaan.
Kami singgah bersarapan di sebuah restoran. Di situlah kami mula berkenalan dengan lebih dekat. Saya kongsikan pengalaman peribadi, agar beliau tahu bahawa di bumi ini, ada insan lain yang turut pernah diuji — termasuk saya sendiri.
"Haji… beginilah kehidupan di Madinah. Kita diuji dengan kesusahan. Tetapi Nabi ﷺ ingin memberi syafaat dan menjadi saksi bagi mereka yang bersabar atas ujian ini…"
Saya menyampaikan kata-kata itu dengan penuh rasa, kerana saya benar-benar pernah merasai kepedihan yang sama. Saya faham perit dan sedih yang beliau tanggung. Namun sebagai hamba, ubatnya hanyalah kembali kepada Allah — bertemu-Nya dalam doa dan linangan air mata.
Kehilangan dompet saya tahun lalu rupanya menjadi titik perubahan besar dalam hidup. Allah mengambil sesuatu, tetapi Dia menggantikan dengan sesuatu yang jauh lebih bernilai. Maha Suci Allah, Dia tidak menzalimi hamba-Nya.
Saya masih ingat, terbaring di atas katil sambil menangis sepuas-puasnya. Hampir setiap hari saya menghubungi pihak polis, bertanya jika ada laporan baharu. Setiap kali jawapan yang sama diberikan — "masih tiada" — hati terasa sangat perit. Tanpa iqamah, bagaimana saya mahu pulang ke Malaysia? Sedangkan beberapa minggu lagi saya perlu bermusafir ke tanah air.
Dalam kesempitan itulah, Allah menemukan saya dengan sebuah buku — buku yang mendidik jiwa untuk kembali mengingati-Nya. Sejak itu, saya mula merasa tenang dan damai. Kehilangan itu akhirnya membuatkan saya tersenyum, kerana Allah membuka pintu hidayah untuk kembali kepada-Nya.
Saya pernah berdoa:
"Ya Allah, jika kehilangan ini adalah sebab Engkau mahu memberiku iman, maka janganlah Engkau temukan ia kembali. Aku khuatir aku akan melupakan-Mu jika ia kembali kepadaku."
Menjelang waktu Asar, segala urusan untuk beliau musafir ke Jubail akhirnya selesai. Sepanjang hari bersama beliau, Allah memudahkan setiap urusan. Penat itu ada, tetapi kepuasan membantu insan lain jauh lebih besar — ditambah pula dengan muhasabah yang mengingatkan kembali kisah diri sendiri.
"Haji… insya-Allah jumpa tu. Saya doakan…"
Beliau tersenyum, sambil berkata, "Nak buat macam mana, Allah nak uji. Uji harta, uji nyawa…"
Senyuman itu adalah tanda ketabahan seorang hamba yang reda.
Banyak ujian di bumi Madinah yang harus dilalui. Ramai yang bercita-cita mahu hidup di sini, tetapi tidak semua tahu bahawa ada kesusahan yang menanti — dan belum tentu semua mampu menahannya.
"Ya Allah, moga tarbiyah Madinah ini mendidik hati dan jiwa untuk mendekati-Mu, serta menguatkan kami menghadapi apa jua mehnah yang bakal mendatang."
Ya Allah…
Aku menyayangi bumi kekasih-Mu.
Madinah Al-Munawwarah
13 April 2013