Mencari bahagia disebalik sengsara

Amir baru sahaja pulang dari kuliah. Petang itu, langkahnya membawanya melalui jalan kecil berhampiran sebuah bukit dalam kawasan universiti. Sebelum ke situ, dia sempat singgah bertemu seorang rakan dari Syria yang sekuliah dengannya. Mereka berhenti seketika di satu sudut, berbual ringan tentang kuliah dan kehidupan.

Ketika itulah, dari kejauhan, Amir perasan kelibat Ibrahim di atas bukit—duduk sendirian, kaku, seolah-olah tenggelam dalam dunianya sendiri.

Selesai berborak, Amir melangkah naik ke arah Ibrahim.
"Assalamualaikum, dari tadi ana nampak anta termenung jauh. Kenapa, ya Ibrahim?"

Tiada jawapan.

Ibrahim seakan tidak menyedari kehadiran Amir. Wajahnya tidak berpaling, matanya masih memandang kosong ke satu sudut. Merah dan basah—seperti baru lepas menangis panjang.

Mereka kini berada di atas sebuah bukit kecil dalam kawasan universiti. Tidak tinggi, namun suasananya tenang, berangin, dan dingin. Musim sejuk telah pun bermula. Kebanyakan pelajar mengenakan baju panas setiap kali keluar dari asrama.

Mungkin di sinilah Ibrahim memilih untuk meluahkan sesuatu, bisik hati Amir.

Perlahan, tangan Amir menyentuh bahu sahabatnya itu.
"Sahabatku Ibrahim… sudah lama anta di sini? Kaifa haaluka?"

Tiba-tiba, tangan kanan Ibrahim menggenggam tangan Amir erat.
"Masya-Allah… anta Amir. Ana langsung tidak perasan kehadiran anta."
Dia menarik nafas panjang.
"Ana sihat… alhamdulillah. Cuma iman ini… kurang sihat."

Nada suaranya lemah, tidak seperti kebiasaan. Ibrahim yang Amir kenali sentiasa ceria dan ramah. Namun hari ini, wajahnya muram. Dahinya berkerut, matanya kembali merenung jauh.

"Iman kurang sihat? Macam mana tu, Ibrahim?" tanya Amir, penuh kehairanan dan simpati.

"Anta lebih tahu, Amir. Bila iman lemah, segalanya terasa serba tidak kena. Hati gelisah, jiwa resah. Ana ke sini untuk berehatkan fikiran… dan merenung perjalanan yang masih panjang."

Amir memilih untuk duduk bersama Ibrahim. Sebagai sahabat rapat, dia tahu—ini saatnya untuk mendengar, bukan menghakimi. Kata-kata seorang motivator terlintas di benaknya: Jika mahu bahagia, bahagiakan orang lain.

Angin petang bertiup lembut. Pemandangan di kota ini sentiasa mengingatkan Amir kepada sirah dan sejarah. Di bumi inilah, Nabi dan para sahabat bermati-matian mempertahankan kalimah tauhid.

"Untung kita, Ibrahim," ujar Amir perlahan, "Allah pilih kita belajar di sini."

Namun Ibrahim kembali tenggelam dalam lamunannya.

Hati Amir berbisik doa:

Ya Allah, mudahkan urusan sahabatku ini. Tenangkan hatinya. Tunjukkan dia jalan untuk kembali dekat kepada-Mu…

Dengan penuh yakin, Amir mengaminkan doanya sendiri. Dia merapatkan duduk, memeluk bahu Ibrahim, dan memujuknya agar berkongsi apa yang terbuku di hati.

"Ibrahim, ana kenal anta sejak sekolah menengah. Kita kongsi suka dan duka. Allah temukan kita lagi di universiti ini bukan tanpa sebab. Dari jauh kita tinggalkan tanah air—di sini ada amanah menuntut ilmu. Esok, kita akan dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan."


 Ibrahim mengangguk perlahan.

"Benar, Amir. Itulah niat ana. Ana cintakan ilmu dan kebenaran."
Dia terhenti seketika. "Ana sedang bermujahadah… tapi—"

"Tapi apa, Ibrahim?"

Air mata mula mengalir di pipi Ibrahim.
"Ana sering jatuh… selalu kalah. Kadang-kadang ana terlalu penat. Bukan ana tidak berdoa—ana menangis, merintih… tapi ana jatuh lagi."

Hati Amir bergetar. Dia sendiri mudah tersentuh, namun kali ini dia memaksa dirinya kuat.
Ya Allah, jadikan aku alat untuk membantunya, bisiknya.

Ibrahim menyambung, suara tersekat-sekat.
"Ana rindukan ketenangan itu… akhir semester lepas banyak mengajar ana tentang hidup. Ana bangun selepas 'ketukan' dari Tuhan—tapi kali ini ana gagal lagi. Ana penat, Amir."

Amir mendengar dengan penuh empati. Dia tidak menyampuk. Sesekali tangannya mengusap belakang Ibrahim, menenangkan.

"Ana sedar semua ini berpunca dari dosa ana sendiri," kata Ibrahim.
"Ana tidak marah pada Tuhan… ana kecewa dengan diri ana."

Dia menunduk.
"Berapa kali ana minta perubahan. Berapa kali ana menangis pada Allah. Tapi ana ulang lagi… dosa itu biarlah Allah sahaja yang tahu."

Ibrahim menceritakan bagaimana musibah menjadi titik kebangkitan, bagaimana taubat memberi sinar, bagaimana hadirnya seorang insan yang menguatkan langkahnya menuju Tuhan. Solatnya menjadi tenang. Hatinya lembut. Air mata mudah tumpah.

"Waktu itu ana rasa sangat bahagia," katanya.
"Seolah-olah hidup ana berubah."

Namun kebahagiaan itu tidak lama.

"Sekembalinya ana ke sini… ana diuji lagi. Ana jatuh lagi, Amir."
Dia menarik nafas berat.
"Azam ana hancur. Kemanisan iman makin pudar. Ana hampir sampai ke puncak… tapi jatuh sebelum sempat menyentuhnya."

"Ana penat… adakah taubat ana tidak ikhlas?" soalnya, penuh luka.

Amir memegang tangan Ibrahim erat.
"Ibrahim, jatuh itu bukan tanda Allah membenci. Anta masih menangis, masih mahu berubah—itu tanda Allah sayang. Kita bukan orang baik, sahabatku. Kita orang yang sedang bermujahadah."

Ibrahim teresak.

"Bantulah ana, Amir… ana mahu bangkit semula."

Amir tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia memeluk sahabatnya itu erat. Air matanya sendiri gugur tanpa sedar.

Begitulah persahabatan kerana Allah—tidak meninggalkan saat luka dan lemah.

"Berjanjilah, Amir… anta akan bersama ana di sini."

"Demi Allah, ana bersamamu," jawab Amir.
"Dan yang lebih penting—Allah sentiasa bersama kita."

Petang itu begitu syahdu. Angin bertiup lembut, matahari perlahan-lahan condong ke ufuk. Cahaya senja di balik bukit menjadi saksi dua hati yang saling menguatkan kerana Tuhan.

Dalam diam, Amir berdoa:

Ya Allah, ampuni kami. Sayangi kami. Kurniakan hidayah kepada kami…

Dan dalam hati Ibrahim terlintas satu rasa halus:

Alangkah bahagianya jika "perasaan" itu datang lagi…

Ujian Tuhan di Kota Bercahaya
Wahai Tuhan kembalikanlah ketenangan...
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Wednesday, 27 May 2026