Rasa-Rasa dalam Solat

Gambar sekadar hiasan

Petang tadi, ketika uncle berjalan santai di kawasan hadapan sebuah masjid, tiba-tiba terdengar suara ceramah bergema. Agak terkejut juga—jarang benar ada ceramah pada waktu petang begini. Pembesar suara yang dipasang jelas kedengaran hingga ke luar masjid.

"Oh, ye ke uncle? Uncle jogging ke di kawasan masjid tu?"
"Eh tidaklah, uncle jalan sahaja."

Namun ketika uncle berjalan di bahagian belakang masjid, suara penceramah kedengaran agak kuat, seolah-olah sedang menegur dengan nada serius. Uncle tersenyum kecil, tertanya-tanya juga, kenapa begitu keras nadanya dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini.

Rupanya pada waktu itu sedang berlangsung satu program muhasabah Ramadan, dan ceramah tersebut berkaitan dengan solat. Saya sendiri merupakan salah seorang peserta program itu. Tidak sangka pula uncle berada di kawasan yang sama.

Slot yang membincangkan tentang memahami bacaan dalam solat benar-benar memberi kesan. Kebanyakan peserta yang hadir bakal berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji pada tahun ini. Ramainya sudah veteran, manakala anak muda seperti saya boleh dibilang dengan jari. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan setiap kumpulan diberikan beberapa helai kertas soalan. Tugasan kami mudah pada zahirnya—menterjemahkan makna bacaan-bacaan dalam solat.

Surah al-Fatihah, doa iftitah, zikir rukuk dan sujud, bacaan duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir, doa qunut dan lain-lain—semuanya perlu diterjemahkan mengikut kumpulan.
"Nah, ambil rasakan," bisik hati kecil saya.

Saya berada dalam kumpulan tali hitam yang dinamakan Kumpulan Saidina Abu Bakr. Maka bermulalah perbincangan. Jelas kelihatan ramai yang teragak-agak, serba salah dan tidak pasti bagaimana hendak menterjemahkan bacaan yang selama ini dilafazkan. Dengan sedikit ilmu bahasa Arab yang ada, saya membantu sekadar mampu sambil berbincang bersama. Keadaan kumpulan lain, saya tidak pasti.

Masa tamat.

"Baik, kami akan kumpulkan semua terjemahan anda."

Lima minit kemudian, salah seorang ustaz bangkit bersuara. Katanya, para juri telah menyemak hasil kerja peserta.

"Jika beginilah kertas yang kami terima, apa sebenarnya yang kamu semua lakukan selama ini? Solat apakah yang kamu kerjakan, jika apa yang dibaca tidak difahami? Terjemahan Surah al-Fatihah pun tidak lengkap! Sudah berpuluh tahun solat, tetapi masih tidak faham."

Nada suaranya dikeraskan, bukan kerana marah, tetapi kerana sedih dan kecewa.

Semua tertunduk malu. Ada yang tersenyum hambar, ada yang tersipu-sipu. Dari kumpulan lain, saya terdengar suara seorang warga emas berkata,
"Kami tak ada KAFA dulu, ustaz…"

Ketika sesi penterjemahan tadi, saya perasan ada seorang pelajar sekolah duduk bersama satu kumpulan. Tiba-tiba seorang pakcik bersuara kepadanya,

"Eh, kau kan belajar Arab! Kau mesti tahu… tolonglah terjemahkan."
Langsung tanpa segan silu. Aduh, terasa pula rasa segan itu.

Suasana menjadi sedikit huru-hara. Ketika itulah tersingkap satu hakikat—betapa jahilnya kita semua. Solat berpuluh tahun, tetapi tidak memahami apa yang dibaca. Jika tidak faham, bagaimana mahu menghayati? Jika tidak dihayati, bagaimana mahu khusyuk?

Ya Allah…

Rupanya solat kita ini sudah terlalu jauh. Patutlah solat yang dilaksanakan tidak memberi kesan dalam diri. Akhlak masih di takuk lama, iman sekadar biasa-biasa, lidah masih mengumpat, masih berdusta, masih terjebak dengan maksiat. Solat yang sepatutnya mencegah kemungkaran, gagal melakukannya.

Itulah solat yang tiada rasa.

Kehidupan di Madinah bukannya mudah penuh mujahada...
Akhlaknya memikat hati, nasihatnya membekas di jiw...
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Wednesday, 27 May 2026