Akhlaknya memikat hati, nasihatnya membekas di jiwa — inilah kisah di Masjid Nabawi
Selesai menelaah ilmu nahu di Masjid Nabawi yang mulia, saya duduk bersandar pada sebuah kerusi kecil yang baru dibeli. Sungguh selesa bersandar sambil membaca. Dengan takdir Ilahi, seorang sahabat saya yang datang menunaikan umrah singgah bertemu. Kami berbual santai di situ, mengisi waktu dengan perbualan ringan.
Di sebelah kiri dan kanan saya pula kelihatan seorang lelaki yang tekun menterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Urdu. Wajahnya tenang, tubuhnya tegap, dan gerak-gerinya santai. Tangannya ligat menulis di atas papan lapik berwarna biru.
Saya berbisik kepada sahabat,
Ana rasa sebelah kiri ana ni syeikh ni…"
Sahabat hanya tersenyum samar,
"Yeke? Erm…"
Mungkin dia menyedari perbualan kami, lalu saya terus memberi salam.
Beliau menjawab dengan mesra lalu bertanya,
"Enta ṭālib Jāmi'ah Islāmiyyah? Awak pelajar universiti Islam?"
Saya menjawab ringkas sambil tersenyum,
"Na'am."
Kemudian beliau berkata,
"Saya mahu menasihatkan awak sesuatu."
Beliau meletakkan bukunya ke tepi dan memberikan sepenuh perhatian. Lalu katanya, kerusi yang saya sandarkan itu tidak baik untuk otak. Menurutnya, tabiat bersandar ketika duduk boleh memberi kesan yang tidak baik.
Saya bertanya dengan penuh kehairanan,
"Kaifa 'arafta? Macam mana syeikh tahu?"
Beliau menjawab ringkas,
"Hādhā ma'rūf."
Tanpa banyak bicara, beliau menarik kerusi tersebut dan menyuruh saya meletakkannya ke tepi. Kemudian beliau bertanya lagi,
"Hal anta marīḍ? Awak sakit?"
Saya menjawab agak keliru,
"Lastu marīḍan… saya tak sakit."
Beliau tersenyum dan berkata,
"Utrukhu idhan — kalau begitu, tinggalkanlah."
Saya hanya mengangguk, tersipu-sipu.
Beliau kemudian meminta saya menggenggam tangan. Dengan lembut, beliau membuka jari saya satu persatu. Ketika membuka ibu jari, beliau berkata,
"Tinggalkan kerusi ini."
Apabila membuka jari telunjuk, beliau membaca sebuah hadis:
"Min ḥusni al-Islām al-mar'i tarkuhu mā lā ya'nīhi."
Maksudnya:
Antara tanda baiknya Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.
Saya membalas dengan penuh rasa syukur,
"Jazakumullahu khair, syeikh."Masih banyak perbualan lain yang tidak sempat saya ceritakan.
Rupanya beliau berasal dari Pakistan. Lebih mengejutkan, beliau ialah bekas pensyarah di Universiti Imam Saud, Riyadh, dan pernah menjadi Ketua Bahagian Dakwah di universiti tersebut. Ketika itu, beliau sedang menterjemah bukunya sendiri ke dalam bahasa Urdu. Judulnya Lā Tay'asū fī Rawḥillāh.
Saya benar-benar terkejut lalu bertanya,
"Kaifa astafīd minka? Bagaimana saya boleh belajar dengan syeikh?"
Beliau menjawab dengan rendah hati,
"Di sini ada ramai masyaikh. Saya hanya datang menziarah, tidak menetap di sini."
Saya sangat terkesan dengan cara dakwahnya — lembut, praktikal dan penuh hikmah.
Sesungguhnya di Masjid Nabawi ini ramai insan luar biasa, namun sering tidak disedari kerana kebanyakan mereka sangat rendah diri dan memilih untuk hidup secara low profile.
Beliau seorang lelaki yang soleh. Saya benar-benar tersentuh dengan dakwahnya.
Semoga Allah memberkati pertemuan kami. Amin.