Membetulkan struktur berfikir Ketika Membaca
Saya ingin berkongsi untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah 'Azza wa Jalla kerana telah memberi izin dan tawfiq kepada saya untuk menamatkan bacaan buku ini, serta mengurniakan rezeki untuk saya memiliki karya ini.
Saya tidak menyangka buku ini akan membuatkan saya menitiskan air mata dan menangis. Buku yang sarat dengan tadabbur al-Quran, hadis, sains, nilai dan psikologi ini telah mengaktifkan sistem saraf otak saya, sekali gus membangkitkan kenangan terhadap guru-guru yang pernah saya belajar dengan mereka sejak zaman tadika. Apakah saya seorang yang sentimental atau mudah tersentuh?
Tidak penting. Yang penting, penulisan buku ini membantu saya melangkah setapak lagi ke hadapan untuk mendekati Allah.
Secara peribadi, buku ini tergolong dalam kategori buku healing buat saya — healing yang membetulkan struktur cara saya berfikir, membaca, merenung dan melakukannya semata-mata kerana Allah SWT. Saya tidak menyangka buku dalam kategori ini adalah kategori yang 'basah' — basah dengan nasihat dan teguran.
Penulis berjaya menulis sesuatu yang telah lama terbuku dalam hati saya, tentang iqra' yang bukan sekadar membaca. Ia perlu dilihat daripada aspek lain, malah lebih halus dan teliti.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan."
Elemen membaca yang mempunyai nilai rasa bertuhan, rasa bahawa Allah sedang melihat — ihsan — rasa bahawa Allah-lah yang mengurniakan ilmu dan kefahaman itu. Sehinggalah bacaan tersebut mampu memberi makna dan menambahkan kesyukuran kita kepada Allah atas segala nikmat yang Dia berikan.
Buku ini bukan sahaja berbicara tentang membaca, tetapi turut memberi panduan berfikir, terutama dalam dunia pendidikan — bagaimana hubungan yang baik dan ikhlas antara guru dan anak murid mampu memberi kesan mendalam kepada jiwa, minda dan sistem kognitif mereka.
Saya masih ingat bagaimana guru-guru pernah mendidik saya. Satu persatu wajah mereka dapat saya bayangkan. Antaranya, dua orang guru Matematik saya di tingkatan 3, 4 dan 5 yang sangat baik akhlaknya.
Mereka bersungguh-sungguh mengajar, malah mendidik dengan kata-kata yang baik. Salah seorang daripadanya pernah menangis di dalam kelas kerana penat menegur kami yang tidak memberi fokus. Akhirnya, kami mampu diam dan bersemangat menyiapkan latihan Matematik walaupun ketika tiada guru di dalam kelas.
Saya rasa, asbab memiliki guru yang mampu menyentuh emosi, membuatkan saya berasa dihargai dan terdorong untuk melakukan yang lebih baik kerana tidak mahu mengecewakan mereka. Alhamdulillah, subjek Matematik dan Sains saya peroleh A2 dalam SPM.
Guru Sains saya juga seorang yang baik, fokus dan tidak melayan pelajar yang cuba bergurau keterlaluan, terutamanya dalam bab the human reproductive system. Saya dapat rasakan profesionalisme beliau ketika mengajar, dan itu lahir daripada kesedaran akhlak seorang guru.
Saya sudah mula memerhati perkara ini sejak ketika itu.
Guru Matematik tingkatan 3 saya pernah memanggil saya ke bilik guru kerana ingin memberi hadiah berupa wang selepas saya memperoleh gred A dalam peperiksaan. Beliau sengaja menyembunyikan pemberian tersebut agar rakan-rakan lain tidak berasa cemburu. Di dalam bilik guru, beliau melafazkan kata-kata yang sangat menyentuh perasaan saya. Saya benar-benar merasakan kasih yang beliau zahirkan pada ketika itu.
Begitu juga dengan guru Matematik kedua saya. Ketika majlis mohon maaf beramai-ramai antara guru dan pelajar tingkatan 5 sebelum peperiksaan SPM, beliau menitiskan air mata sambil berkata,
"Maafkan cikgu. Kamu buat lah baik-baik dalam peperiksaan ye."
Saya beruntung kerana memiliki ramai guru yang menzahirkan rasa kasih kepada saya sejak sekolah rendah. Walaupun terdapat satu dua insiden yang membuatkan saya keliru — mengapa ketika berusia 11 tahun, saya ditampar oleh guru Bahasa Melayu.
Saya malu. Saya tertanya-tanya apakah kesalahan saya sehingga ditampar, sedangkan ketika itu saya bukan pelajar nakal, tidak pernah menimbulkan masalah, malah merupakan pelajar aktif, ketua darjah dan pengawas.
Mungkin saya tersilap berkata-kata, namun saya merasakan tindakan itu tidak adil. Sedikit sebanyak ia menjatuhkan self-esteem saya. Saya lupa apa yang berlaku selepas itu, tetapi hakikatnya, saya tidak layak ditampar. Menampar bukan daripada ajaran Islam, dan bukan juga yang pernah diajarkan oleh Nabi SAW.
Dalam buku ini, perkara tersebut dihuraikan, dan ia membuatkan saya rindu kepada didikan dan akhlak Nabi SAW.
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد
Wahai para cikgu, guru dan pendidik — jangan sesekali mengabaikan aspek emosi anak murid. Kasihanilah mereka sebaiknya. Kita memikul amanah yang amat berat. Allah SWT telah mengurniakan kita ilmu, dan bersama ilmu itu hadir tanggungjawab. Laksanakanlah ia sebaik mungkin.
Saya teringat satu lagi peristiwa, kira-kira 30 minit sebelum azan Subuh. Seorang murabbi yang pernah mendidik saya selepas SPM sedang membaca al-Quran secara perlahan di bawah cahaya lampu yang masuk ke dalam bilik asrama. Ketika itu, saya menemaninya sebagai fasilitator program sekolah.
Selepas terjaga daripada tidur nyenyak, saya menegurnya,
"Eh, kenapa ustaz tak buka lampu?"
Beliau menjawab,
"Tak apalah, nanti ganggu awak tidur, Danial."
Allahuakbar.
Beliau juga melarang saya membantunya menyeterika baju.
"Eh jangan, Danial. Saya buat sendiri. Nabi SAW pun sentiasa berusaha berdikari."
Beliau tidak mahu menggunakan saya, malah terus menunjukkan qudwah yang baik.
Masih banyak lagi guru dan insan yang membawa watak seorang guru yang pernah hadir dalam hidup saya, dan memberi kesan besar dalam perkembangan minda serta jiwa saya.
Hanya Allah yang layak membalas jasa semua guru — daripada saya tidak mengenal huruf, sehinggalah mampu membaca dan menulis. Harapan saya, semoga saya terus belajar dan belajar, hingga bertemu Allah 'Azza wa Jalla.
Dan tentulah guru pertama dan utama ialah madrasah di rumah iaitu daripada didikan ibu dan arwah abah saya sendiri. Walaupun mereka tidak berpelajaran tinggi, namun mereka 'berpendidikan' tinggi.
Jazakumullahu khairan Ustaz Hasrizal kerana menjadi asbab basahnya mata saya ketika membaca karya di hari minggu ini. Saya perlu membacanya lagi. Ia adalah nasihat buat diri saya yang sering lalai.
Moga Allah sentiasa menjaga ustaz dan sekeluarga.
Ameen.