REFLEKSI MASJID
Bila ke masjid mata saya akan memerhatikan pelbagai umur dan generasi yang hadir. Hebatnya mereka.
Saya melihat yang hadir dengan mata bahawa semuanya ingin mencari rahmat dan keampunan Allah bukan sahaja daripada sudut pahala. Saya lebih cemburu bila orang lain dapat solat disaf pertama. Mereka lebih menzahirkan diri memburu cinta Allah.
Jika saya sengaja tidak hadir, maka dimana iman saya ketika itu disaat orang lain tetap istiqamah bermujahadah. Mengapa orang lain hadir namun bukan saya? Ini soal iman yang kita kena sentiasa semak dan ambil berat.
Bila melihat anak-anak kecil yang hadir, hati berasa begitu untungnya mereka seawal umur kanak-kanak telah didedahkan dengan masjid. Walaupun ada yang bermain.
Bila melihat anak remaja yang hadir, moga mereka kekal istiqamah menempuh jalan yang masih panjang dihadapan. Remaja adalah zaman maha dasyat terutama dizaman ini. Jaga solat sahaja mencabar, apatah lagi solat berjemaah.
Bila melihat golongan muda dan pertengahan, pula moga hari tua mu nanti akan terus rajin ke masjid juga. Walaupun di waktu ini juga diri mu penuh dengan ujian dan cabaran dunia. Waktu ini jugalah diri mu ingin mendidik anak-anak mu mendekati masjid. Jadi diri mu mesti istiqamah dahulu.
Namun bila melihat orang-orang tua apatah lagi yang semakin senja umurnya, saya merasa lebih 'sejuk' dan 'kagum'. Kuatnya mereka.
Allahurabbi.
Ya Allah, usia muda mereka mungkin penuh dengan kelalaian dan kejahilan, namun diakhir usia ini mereka dipilih istiqamah ke masjid mendirikan solat secara berjemaah disaat di luar sana masih ada lagi orang-orang tua yang tidak solat dan meremehkannya.
Kerana sabda Nabi saw:
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِخَوَاتِيمِهَا
Sungguh amalan itu dilihat dari akhirnya." (HR. Bukhari)
Tidak mengapalah tentang waktu di usia muda mu itu. Allah maha pengampun. Selagi mana taubatnya jelas dan ikhlas.
Kita yang muda ini bagaimana nanti?
Tetaplah selalu berdoa agar thabat.
Hari ini 'cemerlang' ilmu dan amal soleh, namun belum tentu dimasa hadapan.
Bagaimana kita membangunkan amal soleh hari ini dan meninggalkan maksiat akan mempengaruhi hidup kita di hari tua.
من شب على شيء شاب عليه
"Barangsiapa membiasakan sesuatu sejak dia dizaman muda maka dia juga akan terbiasa mengamalkan sampai ke tua."
Apakah persediaan amalan kita bagi bekal di hari tua?
Ya Allah, aku masih teringatkan nasihat guruku yang aku kenali soleh dan sentiasa bermujahadah yang telah meniti hari tua.
"Doakan saya, doakan saya… saya tidak mahu apa-apa lagi, saya mahu husnul khatimah"
Saya kenal benar… itu adalah nada suara mereka yang mencintai pertemuan dengan Allah dan takut amalnya tidak diterima.
رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا.
Maksudnya:
"Ya Allah hati ku ini merasa puas/lapang/gembira/tenang/terima sepenuhnya bahawa kau adalah Tuhan ku, Islam adalah agama ku, dan Nabi Muhammad sallallahu alayhi wasallam itu adalah Nabi utusan Mu."
Baca tiga kali pagi dan tiga kali petang.
"Ya Allah matikan kami dalam Islam, Iman dan dalam keadaan kami redha pada Mu"