PhD Kecil tapi signifikan
Alhamdulillah di atas taufiq Allah swt, saya dapat tamatkan bacaan buku ini dengan fokus yang baik.
Sebenarnya saya dah terjumpa buku ini ketika menziarahi Prof Kamal Ariffin di pejabatnya UKM tahun lalu, namun saya tidak langsung berniat meminjamnya kerana saya rasa saya boleh terus beli kemudian hari.
Selepas pemergian al Marhum Prof Muhd Kamil Ibrahim rahimahullah, saya terbaca beberapa posting yang menyebut tentang buku ini lalu saya terus meminta izin untuk meminjamnya kerana saya begitu teruja ingin membacanya dengan segera.
Masha Allah Tabarakallah. Buku ini 'superb'. Ketika membacanya saya dapat mengingat kembali kenangan pernah bersahabat dengan al Marhum ketika di Kota Madinah. Saya kenal al marhum agak rapat, saya kenal hati budi malah terserlah kepintarannya mengurus sesuatu perkara. Al Marhum juga seorang yang amanah dan berhati-hati, pernah sekali tu sumbangan buka puasa untuk sufrah Madinah masuk dengan sangat banyak, al Marhum beritahu saya, "saya keluarkan semua duit saya dalam akaun bank, supaya tak bercampur dengan duit sumbangan".
#review
Saya dapat merasai isi buku ini dengan begitu baik kerana saya tahu ini benar-benar penulisan al Marhum. Saya tahu lenggok penulisnnya. Saya pernah belajar dalam bengkel penulisan al Marhum di Madinah dan tulisan saya pernah dibaiki oleh al Marhum. Bila saya baca balik tulisan yang dibaiki, saya rasa sangat teruja. "Sedapnya….dan masih lemahnya penulisan aku". Buku itu bertajuk Nota dari Madinah, buku terakhir yang ditulis sebelum al Marhum balik ke Malaysia for good.
Buku ni buat saya tertawa, sedih, takut, bahkan saya menitiskan air mata. Ya buku ini sangat dekat dengan saya. Mungkin juga kerana saya tahu al Marhum dah tiada dan sebenarnya saya terkilan tak sempat ziarah al Marhum hanya 3 hari sebelum al Marhum meninggal sahaja saya sempat berwhatsapp, tapi saya tidak harap al Marhum akan balas sebab al Marhum telah pun dalam keadaan sangat uzur.
Kali terakhir al Marhum whatsapp saya pada akhir 2023 bertanyakan terjemahan tajuk buku ke bahasa Arab.
Banyak sangat nasihat yang saya dapat dalam buku ini. Ia sungguh membantu untuk mematangkan jika anda benar-benar ingin jadi pensyarah, penyelia dan penyelidik (pelajar PhD) yang cemerlang berjiwa pendidik (murabbi). Bahkan al Marhum telah kumpul 50 nasihat, pesanan dan pengalaman daripada pelbagai latar belakang pensyarah dan pelajar peringkat tertinggi lalu dimasukkan ke dalam buku ini dengan izin. Ia digarap penuh tekun dan berhati-hati. Bayangkan al Marhum berjaya menamatkan pengajian PhD ketika saya berumur 9 tahun. Budak yang masih belum mengenali realiti dunia.
Tujuannya agar PhD dapat dilihat dengan dimensi yang holistik.
Jika ditaqdirkan saya menjadi penyelia pelajar satu masa nanti, saya ingin benar pelajar saya baca buku ini sehingga tamat lalu berkata kepadanya,
"Jadilah seperti Kamil dalam buku ini dan saya pula akan sedaya upaya menjadi seperti Prof Stuart!" Selepas itu baru kita mulakan penyelidikan bersama.
Antara nasihat 'deep' yang sempat saya ambil daripada buku,
"Perkara paling asas yang perlu difikirkan ialah soal hati. Kita mesti berhati tulus. Tuhan akan menolong orang yang suka menolong orang lain."
"Belajarlah untuk menjadi seorang yang berhati mulia. Bermula dengan sikap saling bantu-membantu semasa kita belajar. Jangan sekali-kali kedekut ilmu kerana ilmu tersebut boleh susut jika tidak dimanfaatkan. Malah saya fikir setiap daripada kita mempunyai kelebihan dan pengetahuan yang berbeza-beza."
"Di peringkat PhD dan sarjana, pertolongan dan bantuan sesama sendiri, kepakaran luar dan jaringan bidang adalah perkara lumrah. Saya hendak kamu mempercayai bahawa Tuhan akan memberikan pertolongan jika kamu membantu orang yang meminta pertolongan. Walaupun pandangan ini bersifat holistik dan sukar untuk dibuktikan, inilah pengajaran yang paling berharga semasa saya belajar di peringkat PhD."
"Jangan terlampau ghairah fotostat artikel. Tak perlu membuat koleksi artikel sampai menimbun hingga sukar untuk dibaca. Idea hanya akan timbul dengan membaca dan bukannya bergantung dengan jumlah artikel yang disimpan."
"Ya Allah ampunilah dan rahmatilah guru dan sahabat kami ini, Prof Kamil."