Peranan Pemandu Pelancong Masjid (MTG): Mengimbangi Tuntutan Dakwah Dan Profesionalisme Pelancongan Melalui Pendekatan Silang Budaya
Penyampaian maklumat yang berkesan oleh seorang Pemandu Pelancong Masjid (MTG) bermula dengan sikap menghormati keperluan individu di hadapan kita, bukannya memaksakan agenda tersendiri. Secara realitinya, tugas seorang MTG menuntut keseimbangan yang teliti antara memenuhi tanggungjawab dakwah secara berhikmah dan mengekalkan tahap profesionalisme dalam industri pelancongan antarabangsa. Bagi mencapai keharmonian ini, penggabungan antara ilmu kesedaran silang budaya dan kebijaksanaan Pedagogi Dakwah Berpusatkan Individu amatlah kritikal.Sebagai panduan praktikal di lapangan, berikut merupakan 7 perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh setiap MTG:
1. Penilaian Keperluan (Need Assessment) Sebagai Asas Komunikasi
Pendekatan asas untuk merentas sempadan budaya adalah dengan melihat dan mendengar terlebih dahulu sebelum bertindak. Prinsip ini dengan sempurnanya tercatat dalam sirah Nabi Muhammad SAW melalui Surah ʿAbasa. Apabila ditegur oleh Allah SWT kerana terlepas pandang akan keperluan seorang sahabat yang buta, Baginda telah mengubah pendekatannya dengan bertanya, "Apakah keperluanmu? Adakah engkau memerlukan apa-apa?". Mengambil iktibar daripada sirah ini, MTG tidak seharusnya melayan pelancong berdasarkan status atau sekadar mahu menghabiskan "skrip lawatan". Sebagai langkah permulaan, MTG boleh merisik keperluan pelancong dengan mengajukan beberapa soalan terbuka (open-ended questions) yang mesra seperti: "What brought you here? What makes you feel interested about the mosque? Have you ever been to any mosque before?" bertanya soalan-soalan ini, MTG mempraktikkan Need Assessment yang mengangkat martabat dan maruah pelawat, selari dengan prinsip dakwah yang inklusif.
2. Memperkasa Autonomi Melalui Komunikasi Terbuka
MTG disarankan agar menggunakan lebih banyak soalan penjelasan (clarifying questions) dan mendengar perkara yang tersirat (read the air) untuk mengelakkan salah faham. Keupayaan ini memainkan peranan penting dalam memperkasa autonomi pelancong untuk menentukan sendiri fokus penerokaan mereka. Penilaian awal ini amat kritikal kerana MTG perlu sedar bahawa ada kalanya pelancong telah pun diterangkan tentang asas Rukun Iman dan Rukun Islam di dalam bas sebelum ketibaan, atau mereka mungkin telah singgah ke masjid lain dan diceritakan panjang lebar tentang Islam. Jika penilaian tidak dilakukan, MTG mungkin akan membuang masa mengulang maklumat yang sama.
Melalui penilaian awal, MTG boleh menapis maklumat, meringkaskan perkongsian, dan mengelakkan daripada memberi syarahan panjang yang tidak diminta (lengthy, unsolicited lectures) yang mungkin membuatkan pelancong bosan atau rimas. Antara kepentingan Need Assessment di fasa ini juga adalah untuk melahirkan empati dalam diri MTG; iaitu kebolehan mengukur berapa lamakah masa yang pelawat bersedia untuk mendengar perkongsian. Kita tidak mahu MTG bertindak 'syok sendiri' dengan bercakap tanpa henti, walhal pelawat sudah berasa tidak selesa dan hanya mencari peluang untuk beredar (escape). Sebagai contoh, pelancong dari Jepun (high-context) terkenal dengan sifat sangat menghormati orang lain. Namun, reaksi sopan mereka yang diam mendengar tidak semestinya bermaksud mereka benar-benar suka atau selesa. MTG perlu lebih bijak dan memperhalusi perkara ini.
3. Skala Meyakinkan (Persuading) Berdasarkan Fokus Pelancong
Proses meyakinkan orang lain sangat bergantung kepada cara budaya mereka belajar; sama ada mahukan asas teori dan konsep terlebih dahulu (principles-first), atau mahukan contoh praktikal dan fakta ringkas (applications-first). Selepas membuat Need Assessment, MTG perlu menyelaraskan gaya penyampaian dengan fokus penerokaan pelancong tersebut. Jika pelancong datang hanya kerana kagum dengan rekaan masjid (mungkin dari budaya applications-first seperti Amerika), MTG boleh memfokuskan kepada langkah-langkah praktikal dan fungsi ruang binaan. Namun, jika mereka datang kerana ingin tahu tentang Islam secara mendalam (mungkin dari budaya principles-first seperti Jerman), MTG boleh menyentuh falsafah "kenapa" umat Islam bersolat dan konsep akidah.
4. Mengurus Kelompok Skeptikal: Ketelusan vs "Dakwah Sandwich"
Dalam pelancongan masjid, sesetengah pemandu pelancong mungkin dilatih menggunakan pendekatan "dakwah sandwich"—iaitu menyelitkan mesej-mesej agama secara halus di sebalik penerangan sejarah atau seni bina bagi mengelakkan penolakan awal. Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak universal dan boleh memakan diri jika dipraktikkan kepada kelompok pelancong yang skeptikal, terutamanya dari negara-negara Scandinavia atau Eropah Utara.Sikap skeptikal ini sebenarnya berakar umbi daripada kod sosial masyarakat Nordik dan Skandinavia (seperti Denmark, Sweden, Norway, dan Finland) yang dipanggil Law of Jante (Hukum Jante). Prinsip asas hukum ini menanamkan nilai egalitarian (kesamarataan) yang ekstrem sejak dari kecil: "Jangan fikir anda lebih baik atau lebih pandai daripada orang lain".
Atas kefahaman ini, golongan Nordik sangat sensitif terhadap sesiapa sahaja yang bersikap 'menunjuk pandai' atau berkelakuan superior. Jika MTG mendekati mereka dengan gaya seolah-olah ingin menggurui, penerangan tersebut boleh memakan tuan.Tambahan pula, masyarakat dari rantau ini tergolong dalam spektrum komunikasi Konteks Rendah (Low-Context) di mana mereka amat mementingkan ketelusan, lurus, dan mesej yang eksplisit. Jika MTG cuba membuka ruang berbual mesra tetapi akhirnya menyelitkan mesej agama secara rahsia (pendekatan dakwah sandwich), pelancong Nordik akan segera merasakan ada "udang di sebalik batu". Mesej yang diselindungkan sering dianggap palsu (fake), mengelirukan, dan langsung tidak ikhlas. Jika mereka mengesan sebarang "agenda tersembunyi" (hidden agenda), ia akan segera merosakkan tahap kepercayaan mereka kerana paksi kepercayaan mereka adalah Berasaskan Tugasan (Task-Based Trust).
Oleh itu, MTG harus menghormati autonomi tersebut dengan memberikan pencerahan teknikal yang lurus tanpa selitan mesej teologi yang tidak diminta. Paradoksnya, bersikap profesional sebegini membina kredibiliti tertinggi di mata pelancong Low-Context, menerusi cerminan integriti (da'wah bil hal). Yang paling penting, seorang MTG harus sedar bahawa memadai jika mesej Islam itu sampai dan difahami oleh pelawat, walaupun hanya sedikit. Di sinilah letaknya hikmah yang sebenar dalam berdakwah; ia tidak perlu sarat dan memaksa, asalkan ia ikhlas, telus dan mengena pada sasarannya.
5. MTG Sebagai "Jambatan Budaya" (Cultural Bridge) : Menyepadukan Kepentingan Masjid dan Pelancongan
Sering kali wujud dua matlamat berbeza: pihak masjid mempunyai kepentingan dakwah, manakala agensi pelancongan luar membawa kepentingan komersial. Di sinilah MTG memainkan peranan kritikal sebagai "jambatan budaya" (cultural bridge) bagi merungkai garis pemisah tersebut. Di sinilah Pemandu Pelancong Masjid (MTG) memainkan peranan yang paling kritikal untuk menjaga dan menyatukan kedua-dua kepentingan ini. Dalam buku The Culture Map menegaskan bahawa apabila wujud sempadan atau perbezaan pendekatan antara kumpulan, organisasi memerlukan individu yang memiliki kesedaran tinggi untuk bertindak sebagai "jambatan budaya" (cultural bridge) bagi merungkai garis pemisah tersebut dan membina persefahaman. Dengan berbekalkan ilmu pemetaan budaya (cultural mapping) dan kemahiran Penilaian Keperluan (Need Assessment), MTG berfungsi sebagai jambatan budaya yang sempurna bagi menggabungkan keperluan masjid dan agensi pelancongan. Bagi menjaga kepentingan agensi pelancongan: MTG memastikan pelanggan (pelancong) mereka disantuni dengan tahap profesionalisme antarabangsa.
Dengan menyesuaikan gaya penyampaian (seperti membezakan pendekatan principles-first atau applications-first) mengikut latar belakang budaya pelancong, agensi pelancongan berasa yakin bahawa tetamu mereka mendapat pengalaman lawatan yang optimum dan memuaskan. Bagi menjaga kepentingan pihak masjid: MTG memastikan ruang masjid tidak dieksploitasi semata-mata sebagai produk komersial, sebaliknya terus berfungsi sebagai pusat penyebaran rahmah. Objektif dakwah tetap tercapai, tetapi ia dilakukan secara hikmah, harmoni, dan disesuaikan mengikut kesediaan serta kehendak pelancong itu sendiri tanpa sebarang paksaan (seperti mengelakkan pendekatan "dakwah sandwich" pada pelancong dari negara-negara low-context). Kemahiran memahami secara mendalam perbezaan budaya bukan sahaja menjadikan MTG seorang komunikator yang hebat, tetapi mengangkat darjat mereka sebagai pencipta situasi menang-menang (win-win). Mereka berjaya menggabungkan matlamat komersial industri pelancongan global dengan keluhuran institusi masjid di dalam satu kerangka lawatan yang harmoni, dihormati, dan penuh empati.
6. Masjid Sebagai Salah Satu "Stesen Dakwah" dan Memenuhi Hak Pelancong
MTG tidak seharusnya menganggap masjid sebagai satu-satunya "stesen dakwah" untuk pelancong mengenali Islam. Mesej Islam boleh sampai di mana-mana sahaja. Jika seorang pelancong akhirnya memeluk Islam di masjid, kemungkinan besar beliau telah pun menerima mesej-mesej dakwah dari stesen lain sebelum ini, dan takdir kemuncaknya berlaku di masjid kita. Kita semua sekadar berkongsi saham pahala asbab menyampaikan mesej tersebut. Begitu juga jika pelawat masih ragu, MTG tidak perlu berasa kecewa.
Tugas asas MTG adalah melayan pelancong yang mempunyai hak sebagai seorang tetamu. Secara fitrahnya, pelancong datang untuk bersiar-siar dan bersenang-senang. Oleh itu, berikan hak itu seadanya selagi mereka mengikut peraturan masjid—seperti hak untuk bergambar dan mengetahui sejarah binaan. Di sinilah Need Assessment bertindak sebagai pintu utama sebelum MTG memulakan tugasnya. MTG perlu menyusun (tailor) skrip berdasarkan keperluan pelawat:
Jika mereka berterus-terang ingin tahu tentang Islam: MTG tidak perlu banyak bercerita tentang sejarah atau reka bentuk bangunan. Fokuskan kepada persoalan Islam. Namun, kekalkan profesionalisme dan jangan bersyarah terlalu panjang (seolah-olah sedang bersembang di kedai kopi) kerana anda masih ada tanggungjawab terhadap pelancong lain dan perlu menjaga jadual lawatan.
Jika mereka datang hanya untuk bersiar-siar: Lebihkan input sejarah dan seni bina yang tidak terarah kepada dakwah secara langsung. Walaupun elemen "dakwah sandwich" masih boleh diselitkan, MTG perlu tahu dari mana pelancong itu datang bagi mengelakkan penolakan, serta perlu bersedia secara keilmuan dengan pelbagai persoalan yang mungkin di luar jangkaan.
7. Mengindari naratif kemegahan
Mungkin kadang-kadang penyampaian mengenai seni bina masjid oleh MTG cenderung meleret kepada rasa bangga terhadap kemegahan fizikal—seperti saiz kubah yang besar, nilai karpet yang mahal, atau perincian reka bentuk yang pelbagai. Walaupun maklumat ini tidak salah untuk dikongsikan, namun MTG perlu berhati-hati dengan teknik penyampaiannya. Jika tersilap langkah, ia boleh membuahkan persepsi yang salah bahawa Islam adalah agama yang membazir dan mementingkan kemewahan material, walhal teras ajaran Islam sangat menekankan nilai kesederhanaan.
Oleh itu, MTG harus bijak mengalihkan tumpuan (shift the focus). Daripada sekadar berbangga dengan kemegahan rekaan dan perhiasan yang sifatnya tidak wajib, MTG boleh menghuraikan falsafah di sebalik binaan tersebut. Sebagai contoh, ruang solat yang sangat luas dan kosong tanpa perabot bukanlah dibina sekadar untuk menampakkan saiz yang gah, tetapi ia berfungsi sebagai simbol kesatuan dan kesamarataan; di mana seorang pemimpin tertinggi dan seorang pekerja biasa akan membuang status duniawi mereka untuk duduk bersujud di atas lantai yang sama. Melalui penukaran sudut pandang sebegini, MTG bukan sahaja menepis persepsi pembaziran, malah berjaya menyampaikan mesej kesederhanaan, kerendahan hati, dan semangat berdiri sama tinggi tanpa kasta dan darjat yang menjadi keindahan sebenar ajaran Islam.
Kesimpulan
Penggabungan antara teknik kesedaran silang budaya dan kebijaksanaan pedagogi dakwah mampu mentransformasikan peranan MTG daripada sekadar "penyampai maklumat robotik" kepada fasilitator yang berempati tinggi. Penguasaan kemahiran ini akhirnya mencipta satu situasi "win-win situation" yang mengharmonikan matlamat industri pelancongan global dengan keluhuran institusi masjid yang penuh rahmah.