Selamat Datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang telah bermula hari ini.
Antara manfaat berkunjung ke sana ialah:
1. Meneroka judul baharu.
Berpeluang mengintai buku-buku yang belum pernah kita ketahui atau yang baru diterbitkan. Tidak semestinya terus membeli — ambil gambar dahulu dan simpan dalam galeri telefon, contoh buat album khas dan namakannya 'Book Wishlist'.
2. Membina jaringan dan kenalan.
Ruang untuk berkenalan dengan individu baharu, berkongsi minat, mendengar pandangan serta bertukar idea dalam suasana yang santai dan berilmu.
3. Pendedahan kepada dunia penerbitan.
Melihat secara langsung landskap penerbitan buku, genre yang diminati pembaca, serta kecenderungan pasaran semasa.
4. Bertemu penulis dan penerbit.
Berpeluang menghadiri sesi diskusi, bertemu penulis, malah berinteraksi dengan pihak penerbit untuk mendapatkan maklumat tentang proses dan peluang menerbitkan buku.
5. Menikmati diskaun dan promosi.
Banyak buku ditawarkan dengan harga istimewa dan promosi menarik, sekali gus membantu anda berjimat dan membeli lebih banyak bahan bacaan.
6. Menjana idea dan aktiviti sihat.
Suasana pesta buku membantu mencetus idea baharu, di samping menjadi aktiviti berjalan kaki yang panjang — sekitar 2 hingga 4 jam, malah boleh seharian dari pagi hingga malam jika berkelapangan.
7. Menyokong industri buku tempatan.
Pembelian buku secara langsung membantu penerbit dan penulis meneruskan kelangsungan usaha mereka. Jika tidak berkesempatan hadir, sokongan juga boleh diberikan melalui pembelian secara dalam talian sempena PBAKL berlangsung.
8. Medium Pendedahan & Perkongsian
Pesta buku ialah platform yang sesuai untuk membawa anak-anak atau mengajak rakan-rakan, agar budaya membaca dipupuk melalui suasana buku. Mungkin bagi sesetengah orang, ini pengalaman pertama; maka manfaatkan bookfair sebagai ruang untuk mengatur pertemuan.
'Ala kulli hal, pergi ke pesta buku hanyalah satu wasilah, tetapi membaca adalah komitmen sepanjang hayat. Moga PBAKL 2026 dipermudahkan segalanya, dan setiap buku yang kita miliki menjadi sebab kita bertumbuh menjadi insan yang lebih baik, lebih berfikir dan lebih bererti.
#danialmembaca2026