By Mohd Danial on Tuesday, 26 May 2026
Category: Tarbiyah

Saya itu adalah 'mereka', bukan 'saya'.

Cerita-cerita sekitar dunia buku oleh sang penulis, penerbit dan pembaca yang sejati.

1. Saya tidak menjual buku hanya kerana ia karya saya sendiri. Jika dah ada orang tulis tentang itu dengan baik, apa keperluan orang membaca versi saya pula? Melainkan saya yakin saya punya buku ada novelty tersendiri. Berat hati saya ingin orang lain mengeluarkan duit membeli sesuatu yang tidak perlu pun mereka miliki.

2. Saya tidak mahu menerbitkan versi buku dengan judul lain walhal kandungan itu sudah tersedia dalam buku-buku lain, maka 'mencipta' pengulangan dengan tajuk lain tanpa nilai tambah hanya membebankan pembaca untuk membeli lagi buku lain. Kenapa tak minta pembaca untuk beli sahaja buku-buku lain yang sedia ada?

3. Saya tidak selesa jika buku saya diletakkan di atas rak lebih tinggi daripada karya ulama atau penulis yang lebih besar jasanya, apatah lagi jika ia menyentuh tentang al-Quran. Adab ilmu perlu didahulukan daripada kebanggaan karya. Walaupun mungkin saya lebih dikenali dari sudut populariti tapi saya tidak senang buku saya dibesar-besarkan dengan cara itu.

4. Buku ini anda boleh juga beli melalui pautan yang disediakan. Tidak semestinya melalui saya. Pembelian itu juga akan menyokong penerbit, malah menyokong mereka yang mempromosikan melalui link affiliate, maka itu juga secara tidak langsung adalah sokongan terhadap penerbitan buku saya. Itu cara saya berkongsi rezeki.

5. Jika terdapat kecacatan pada buku di bahagian tertentu, kami akan menawarkan harga yang lebih rendah sebagai pertimbangan kepada pembaca. Ada pembaca yang sangat menjaga kualiti buku. Jadi mereka agak sensitive.

6. Jika buku yang sampai dalam keadaan rosak seperti koyak atau ada struktur tidak sempurna, sila hubungi kami. Kami akan menggantikannya dan menanggung kos penghantaran semula. Amanah terhadap kualiti adalah tanggungjawab kami.

7. Mengikut pasaran, buku dalam kategori ini dengan jumlah halaman dan kualiti kertas sebegini biasanya dijual pada harga murah. Walaupun itu bukanlah ukuran mutlak tapi apakah wajar saya menjual dengan harga mahal seperti ini? Walaupun saya boleh menjualnya dengan strategi marketing yang hebat, apa nilai yang saya ingin bawa dengan kehadiran buku ini?

8. Saya tidak selesa meletakkan harga buku yang boleh membebankan pelajar. Untuk genre tertentu saya lebih rela mengurangkan keuntungan demi memudahkan mereka mendapatkan ilmu. Itu jiwa saya dalam menulis buku dan menyebarkan ilmu.

9. Buku ini percuma khusus untuk mereka yang masih belajar. Gunakanlah sebaiknya. Bagi yang dah bekerja namun tidak berkemampuan, ambillah juga—kerana ilmu tidak sepatutnya terhalang oleh kekangan kewangan.

10. Ketika hadir mengajar, saya tidak menjual buku saya sendiri secara langsung. Saya menyerahkan urusan itu kepada pihak lain, kerana saya ingin menjaga adab dalam majlis ilmu dan mengelakkan campuran antara pengajaran dan urusan jual beli. Saya segan kutip duit walaupun bukanlah salah secara total.

11. Kenapa anda mencadangkan orang lain tidak membeli terbitan buku pertama syarikat penerbitan itu dengan alasan mungkin ada kesilapan yang perlu dibaiki pada cetakan kedua? Ingat, jika tiada sokongan pada cetakan pertama tiadalah juga cetakan seterusnya. Anda harus empati tentang ini.

12. Saya menulis buku buat diri saya dan saya menjualnya dengan jelas buat orang lain juga. Namun siapa yang benar-benar dapat manfaat adalah diluar kawalan saya, saya kena sentiasa rendah diri dan mengharapkan keampunan Allah atas kelemahan saya menulis sesuatu yang mungkin ada banyak silap dan kurangnya.

13. Mempromosi buku sendiri tidak perlu malu namun yang lebih betul adalah mempromosi isi kandungan buku itu. Jadi orang yang belum perlu beli tak perlulah lagi mengeluarkan duit membelinya dulu. Masih ada banyak lagi buku lain yang menjadi keutamaan yang mereka perlu baca.

14. Tiada kata-kata orang besar dan ternama dalam muka surat awal buku saya sebagai sokongan, sebab saya tidak perlukan itu. Saya buat sebaiknya dan jika buku ini baik kualitinya Allah sendiri yang akan mengangkatnya. Saya hanya perlu lebih berjaga-jaga dengan niat dan keikhlasan saya sendiri. Namun saya tidaklah kata yang melakukan sedemikian itu salah.

15. Jika bukan anak saya yang menyambung minat saya ini, saya harap Allah rezekikan cicit saya yang akan menyambungnya nanti. Saya mencari keberkatan yang berpanjangan. Sesungguhnya Allah yang maha mengetahui.

#refleksidiri 

Leave Comments