Sempat mengambil manfaat membedah buku Pengembaraan HAMKA di Malaysia oleh Sdr Hanafi Jamaludin. Tidak banyak perkongsian yang sempat saya ingat. Namun saya dapat merasai bahawa kupasan pembentang adalah baik dengan menggambarkan ketokohan HAMKA daripada sudut-dudut pandangan yang sederhana.

Saya teringat pernah membaca jawapan daripada soalan yang ditujukan kepada ilmuan Indonesia mengenai HAMKA.

"Kenapa HAMKA seakan tidak dijulang di Indonesia berbanding Malaysia?"

Katanya, "Di Indonesia sebenarnya terdapat ramai tokoh yang lebih hebat, mantap dan tersohor berbanding HAMKA. Ini bukan bermakna HAMKA tidak hebat, tetapi masih ramai tokoh lain yang lebih menonjol daripada beliau. Saya sendiri tidak menjadikan HAMKA sebagai rujukan dalam tafsir, sebaliknya saya merujuk kepada Hashbi Siddieq."

Jawapan beliau ini ada kebenarannya — 'partly true' mungkin yang boleh saya sebut.

Saya berikan 3 point sebagai pandangan peribadi:

1. Kita kena akui bahawa kita tidak akan mampu tahu tentang kewujudan semua ulama'. Jika kita tahu sekalipun tidak semua daripada kita akan diberikan "taufiq" yang sama untuk mendekatinya.

Ini bukan sahaja soal rezeki, tapi 'peluang'.

Analogi ringkas.

Ramai 'tahu' mengenai Al marhum Sheikh Yusuf al Qaradhawi rahimahullah, tapi berapa ramai pula direzekikan atau diberi taufiq dengan mencari peluang untuk mendekatinya — dengan membaca, meneliti dan memamfaatkan khazanah ilmu itu untuk diberi semula pada masyarakat.

Mungkin juga ilmuan itu tidak direzekikan 'mendekati' HAMKA. Namun tidak sama sekali bermakna beliau lemah atau salah.

2. Saya selalu mengharapkan Allah 'azzawajalla memandu hati saya untuk pilih buku-buku yang benar-benar baik untuk minda dan jiwa saya. Saya cuba sedaya upaya untuk 'semak' sebelum membaca apatah lagi membeli.

Point saya disini adalah tidak semua orang direzekikan untuk membaca dan mendekati sesuatu yang luar biasa manfaatnya. Saya akan rasa rugi bila orang lain dah jauh kupas pelbagai buku-buku ilmiah yang ternyata tinggi kualitinya namun saya masih terkial-kial nak kenal "siapa penulis tu ya?" — Perlu tak aku dekati?

Namun dalam perjalan membaca pelbagai genre buku, saya akan kekal positif, jika terbaca sampai habis buku yang agak mengecewakan, saya tetap anggap ia adalah sebuah proses. Saya tetap akan cari apa sudut-sudut 'ilmu' yang saya boleh ambil.

3. Cara orang Indonesia memandang HAMKA yang juga orang Indonesia mungkin sedikit memberi perbezaan cara pandang. Saya tidak pastilah apa analogi yang boleh diberikan. Tapi cuba lah cari tokoh Malaysia yang dijulang di luar negara tetapi di Malaysia tidak lah sehebat itu.

Selain itu, saya berpandangan semua ini kerana faktor sejarah itu sendiri iaitu begitu akrab hubungan HAMKA dengan Malaysia. Sebab itu lah dicadangkan juga membaca buku "Kenangan-Kenanganku Di Malaysia". Ia sangat berkaitan dengan buku Pengembaraan HAMKA di Malaysia yang ditulis oleh cucunya.

Ala kullihal, semoga proses membaca buku ini benar-benar menjadikan kita cinta pada kebenaran. Mana-mana tokoh pun hanyalah wasilah. 'Ghayah' sebenar kita adalah mengabdikan diri kepada Allah menuju kampung akhirat.