Suka dan duka bersama mereka—itulah pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, saya ingin mencoret sedikit kisah dan rasa sepanjang bersama para ulama yang datang dari Yaman. Mereka hadir seramai empat orang; tiga daripadanya telah bergelar Dr. dalam bidang tafsir, hadis dan fiqh perbandingan, manakala seorang lagi sedang merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD. Saya menjemput mereka di KLIA, lalu terus membawa mereka ke pusat bandar Kuala Lumpur untuk urusan daftar masuk hotel.

Sepanjang kebersamaan ini, saya bukan sahaja belajar ilmu daripada mereka, bahkan lebih besar daripada itu—saya belajar tentang akhlak. Benarlah kata hikmah itu datang dari Yaman. Nabi SAW yang mulia juga pernah memuji bangsa Arab Yaman. Penat dan lelah bersama mereka tersimpan sebagai seribu satu kenangan yang berharga. Kehadiran mereka adalah untuk mengumpul dana kebajikan Universiti Al-Iman, Yaman, sambil saya berkesempatan membawa mereka mengenali kota Kuala Lumpur dan Selangor.

Hampir setiap malam, kami membawa mereka ke masjid atau surau untuk menyampaikan tazkirah dan kuliah ringkas, di samping memohon sumbangan orang ramai. Ada kalanya mereka menjadi imam solat fardu dan juga solat sunat tarawih. Begitulah rutin harian sepanjang menemani mereka. Memuliakan tetamu adalah satu amanah; memastikan tempat tinggal, makan minum dan keperluan lain sentiasa terjaga adalah perkara yang sentiasa kami utamakan.

Sepanjang bersama mereka juga, tidak kurang detik-detik tawa kecil dan senyuman bahagia. Melihat ketenangan mereka—tidak pernah merungut walaupun berhadapan kesusahan dan kekurangan—membuatkan saya malu dan banyak belajar daripada sifat mereka. Kadangkala keletihan itu ada juga, apatah lagi melayan empat orang Arab dengan bahasa yang berbeza, sambil menjawab pelbagai soalan tentang tanah air. Bukan semua perkara saya tahu, dan bukan semua perkara saya pasti. Maka sering juga saya menjawab, "Ma adri" atau "Lastu muta'akkid"—saya tidak tahu, saya tidak pasti.

Mereka sangat mencintai ilmu. Apabila membuka komputer riba, yang ditelaah adalah kitab-kitab dalam bentuk PDF, lalu dikongsi bersama teman-teman. Mereka juga peka terhadap isu dan perkembangan semasa di luar negara, sentiasa mengikuti berita melalui internet. Tentang bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan ini, tidak perlu dihuraikan panjang—berapa helai sehari pun saya tidak tahu, yang pasti jumlahnya sangat banyak.

Solat berjemaah dijaga dengan penuh disiplin. Ada kalanya sebelum azan berkumandang, mereka sudah bersiap menuju surau. Apatah lagi jika terasa lewat—wajah mereka jelas cemas bimbang tertinggal jemaah. Solat sunat dhuha dan tahajud juga menjadi rutin harian. Suasana di apartmen itu tidak lain dan tidak bukan dipenuhi dengan perbincangan ilmiah, bacaan al-Quran, kitab, dan solat-solat sunat. Indah benar sebuah rumah yang dilingkari suasana sebegitu. Satu harapan yang sedang saya usahakan, insya-Allah.

Tidak banyak yang mampu saya coretkan, namun hakikatnya begitulah kehidupan orang-orang alim—hidup mereka untuk Allah dan Rasul. Setiap hari adalah perjuangan menuju Ar-Rahman. Moga segala yang dilalui menambah iman, takwa dan rasa syukur. Membaca sahaja tidak sekuat melihat dan merasai sendiri, kerana diri ini lebih percaya pada apa yang disaksikan mata berbanding sekadar bayangan bacaan.

Saya hanya berkongsi kata, agar dapat turut berkongsi rasa.

Insya-Allah, kita bertemu di lain masa. Amin.